Thursday, August 26, 2010

PENCEMARAN UDARA






Pengenalan

Udara merupakan faKtor yang penting dalam kehidupan, namun dengan meningkatnya pembangunan Bandar-bandar dan pusat industri, kualiti udara telah mengalami perubahan. Udara yang dulunya segar, kini telah kering dan kotor. Perubahan ini berlaku adalah disebabkan kemasukkan bahan pencemar ke dalam udara.


Definsi Pencemaran Udara

Pencemaran udara boleh didefinasikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung di udara sehingga berlakunya perubahan dan menjejaskan kehidupan atau bahan-bahan lain. Bahan-bahan tersebut terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Ini sebabkan bahan-bahan ini akan masuk ke tubuh manusia melalui pernafasan dan berupaya menyekat pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah. Ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti penyakit kekejangangan, barah, asma, kekejangan dan anemia. Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain yang boleh menghalang penglihatan mata merupakan pelbagai bentuk pencemaran udara.

Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarah yang mengandungi toksik atau radioaktif dalam atmosfera, khususnya yang terhasil menerusi kegiatan manusia. Biasanya pencemaran udara dikaitkan dengan pelepasan asap atau bahan-bahan cemar lain daripada ekzos kenderaan, stesen penjana kuasa, kilang, loji serta pembakaran bahan api fosil secara domestik di kawasan bandar dan industri.

Namun demikian, bahan cemar udara juga boleh terhasil menerusi kegiatan di kawasan pedalaman seperti penyemburan racun makhluk perosak, perlombongan yang menghasilkan habuk ataupun amalan pertanian seperti pendebungaan dan penyemburan baja. Pencemaran udara juga boleh terjadi secara tabii menerusi penyerakan habuk atau debu akibat tiupan angina, letusan gunung berapi, tiupan wap air oleh ombak dan sebagainya.

Pencemaran udara dikatakan berlaku apabila sesuatu bahan ataupun kumpulan bahan-bahan dimasukkan ke udara sehinggakan ia dapat mempengaruhi manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan atau bahan lain (Chambers, 1962). Banyak lagi definisi yang boleh diberikan tentang pencemaran udara ini. Menurut Wark dan Warner (1901), pencemaran udara sebagai kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya di dalam atmosfera dalam kuantiti tertentu pada suatu jangka waktu yang boleh berkecenderungan menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, tumbuhan atau haiwan atau harta benda yang akan menganggu suasana kehidupan yang tenteram.

Selain itu, pencemaran udara menurut Wikipedia Bahasa Melayu iaitu pelepasan bahan kimia berbahaya ke dalam atmosfera. Contoh bahan pencemar termasuk karbon monoksida, sulfur dioksida, klorofluorokarbon (CFC), nitrogen dioksida yang dikeluarkan oleh kenderaan dan kilang industri. Dalam keadaan tertentu, pencemaran boleh berasal dari sumber-sumber semula jadi seperti gunung berapi, pembakaran hutan ataupun ribut debu. Tetapi pada keseluruhannya sumbangan dari sumber-sumber semula jadi ini adalah kecil jika dibandingkan dengan bahan-bahan pencemaran yang dikeluar atau digalakkan dari manusia sendiri.


Jenis Pencemaran Udara


Pencemaran udara terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencemaran udara primer dan pencemaran udara sekunder. Pencemaran udara primer adalah penghasilan sulfur monoksida dan karbon monoksida akibat daripada proses pembakaran yang tidak lengkap. Proses ini menyebabkan zarah-zarah yang halus terampai di udara dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan kita. Kebanyakan pencemaran udara primer ini dilepaskan melalui ekzos kenderaan, kawasan industri dan penggunaan dapur arang atau kayu.

Pencemaran udara sekunder pula adalah tindakbalas sulfur dioksida yang bergabung dan membentuk gas-gas yang tidak diperlukan oleh benda hidup. Sulfur dioksida memerlukan gas seperti karbon monoksida dan sulfur monoksida untuk membentuk gas yang lain. Sebagai contoh gabungan sulfur dioksida, sulfur monoksida dan wap air akan menghasilkan asid sulfurik. Tindakbalas antara pencemar primer dengan gas-gas terampai di atmosfera akan menghasilkan peroksidasetil nitrat (PAN).


Punca Pencemaran Udara


Pencemaran udara boleh berpunca daripada pelepasan asap kenderaan, penghasilan bahan pencemar oleh kilang, pembakaran di tempat pelupusan dan pembakaran terbuka di bandar. Selain itu pembakaran hutan yang berleluasa juga akan menyebabkan pencemaran udara berlaku. Seperti yang kita dapat lihat kejadian jerebu yang berlaku tidak lama dulu. Bahan-bahan sisa bandaran seperti sampah sarap, sisa-sisa makanan dan sebagainya juga menjadi punca kepada pencemaran. Masyarakat juga menyumbang kepada punca pencemaran berlaku akibat daripada aktiviti membakar sampah, ada juga segelintir masyarakat yang masih memasak menggunakan arang atau kayu, merokok dan sebagainya lagi.


Kesan Pencemaran Udara

Akibat daripada pencemaran alam sekitar, kesihatan manusia turut terjejas . Di negara kita misalnya penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding tahun 1950an dan 1960an dahulu. Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan hidupan semulajadi.

Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun yang boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup . Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis bahan kimia yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.



PENCEMARAN AIR


Pengenalan

Air merupakan sumber yang penting bagi kehidupan manusia. Air merupakan sumber semulajadi kedua terpenting selepas oksigen. Tanpa air dunia akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. 3/4 bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih 2/3 daripada berat badan manusia adalah air. Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai minuman. Air memang mutlak diperlukan dalam kehidupan manusia dan mahluk hidup lainnya. Tanpa air kehidupan tidak dapat berlangsung. Demikian juga dalam kehidupan kita sehari-hari, air sangat diperlukan untuk berbagai kegiatan di dalam rumah tangga, juga untuk pertanian, pengangkutan serta rekreasi.

Di dalam industri, air digunakan antara lain sebagai bahan pengolah, pendingin dan janakuasa tenaga. Air merupakan pelarut yang baik tetapi selalu dicemar dengan kandungan berbagai zat terlarut mahupun zat tidak terlarut serta mengandungi mikroorganisme. Apabila kandungan berbagai zat mahupun mikroorganisme yang terdapat di dalam air melebihi tahap yang diperbolehkan, maka kualiti air akan terganggu sehingga tidak lagi boleh digunakan untuk kegunaan pelbagai keperluan samada untuk air minum, mandi, mencuci atau keperluan lainya. Air yang terganggu kualiti ini dikatakan sebagai air yang tercemar.

Sebenarnya, warna dan bau air dapat memberitahu kita apa yang sedang berlaku terhadapnya. Misalnya seperti air berwarna hijau mengambarkan terdapatnya tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair yang tumbuh di dalamnya. Manakala air berlumpur menunjukkan terdapat kandungan kelodakan atau mendapan yang tinggi menyebabkan ikan sukar bernafas. Air yang mempunyai lapisan berkilau pula memberi gambaran bahawa berlaku tumpahan minyak di permukaan air tersebut. Selain itu, kita juga dapat melihat kadangkala air itu berbuih dan ini menunjukkan kemungkinan sabun dari rumah atau kilang yang mengalir ke dalamnya. Kita juga sering kali melihat air yang mengalir mempunyai lapisan kuning jingga atau kemerahan dan ini berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan bahan pencemar oleh kilang ke dalam sungai.



Definisi Pencemaran Air

Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik (Jasiman Ahmad 1996). Pencemaran air bukan hannya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang. Menurut Wikipedia Bahasa Melayu pencemaran air adalah seperti kebocoran dan luahan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi.
Pencemaran air menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat sifat fizikal, haba, biologi atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekeliling yang melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya atau memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.
2.2 Punca Pencemaran Air
Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pelbagai faktor atau punca berlakunya pencemaran air. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah,membuang sisa kilang ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran. Selain itu, kekurangan pengetahuan juga menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang telah ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar. Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang paling utama. Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara turut tercemar .

Sisa bahan buangan kilang seperti sisatosid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.Kumuhan kilang - kebanyakan kumuhan kilang seperti sisa toksid dibuang ke sungai atau laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat dan kadang kala kilang juga membuang bahan beracun ke dalam sungai. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga akan dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Sikap individu itu sendiri menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran air di negara kita. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis sering kali dilakukan oleh sesetengah individu sehingga lupa tanggungjawab dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian juga menyebabkan hakisan tanah berlaku dan ini seterusnya akan mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan ini akan mencetekkan sungai dan air sungai menjadi keruh. Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai lalu mendakan berlaku. Mendakan ini bukan sahaja akan mencetekkan lagi paras air sungai tetapi akan mengakibatkan berlakunya banjir. Hakikatnya pelbagai punca berlakunya pencemaran adalah disebabkan oleh faktor masyarakat kita sendiri mahupun dari pihak-pihak tertentu yang tidak peka pada keadaan sekeliling dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira sebab dan akibat yang akan berlaku akibat tindakan mereka itu.

Kesan Pencemaran Air


Pencemaran air yang berlaku memberi kesan bukan sahaja akan dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain. Kesan kepada manusia adalah terhadap kesihatan mereka sendiri. Dimana antara kesan yang dianggap kronik akaibat pencemaran air yang berlaku adalah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkahlaku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan akibat penggunaan sumber air tersebut.

Kesan pencemaran air ini juga memberi kesan yang banyak kepada organisma laut di perairan cetek kesan daripada tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam hidupan laut serta burung. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan air seperti ikan, siput, udang atau ketam akan mati dengan tumpahan minyak, pembuangan sampah dan sisa toksid yang dicemarkan. Selain dari itu pencemaran toksid yang masuk ke dalam air akan menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan petuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.

PENGENALAN KEPADA PENCEMARAN AIR, UDARA DAN BUNYI

Pengenalan

Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi . Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia. Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat.

Sebagai sebuah Negara membangun, Malaysia sedang mengalami proses pembangunan yang pesat. Pada penghujung abad ke-20 ini, banyak laporan menunjukkan betapa keadaan alam sekitar di seluruh dunia semakin parah tercemar. Pencemaran itu berlaku di segenap pelosok sama ada di Negara membangun apa lagi di Negara maju. Krisis tersebut telah memberi kesan langsung yang negatif terhadap seluruh komponen mikro serta makro alam sekitar. Masalah pencemaran bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia. Berlakunya pencemaran telah menyebabkan pelbagai masalah lain terutamanya masalah kesihatan dan ancaman terhadap manusia dan alam sekitar.

Pada asasnya, kemerosotan kualiti udara, air dan kebisingan adalah berkait rapat dengan pembangunan suatu jenis guna tanah. Contohnya pembangunan industri berat yang berisiko tinggi berkemungkinan menjadi punca kepada pencemaran udara, air dan kebisingan. Berbagai isu dan masalah alam sekitar sering dihadapi oleh penduduk di terutamanya yang berkaitan dengan pencemaran air, udara dan kebisingan. Tanpa melakukan pengawalan dan penyelesaian masalah pencemaran alam sekitar ia boleh mengakibatkan kemudaratan dari segi kesihatan dan menjejaskan kualiti kehidupan kita. Di sini, akan dibincangkan tentang salah satu isu alam sekitar yang berlaku di Negara kita iaitu pencemaran air, bunyi dan udara.

Definisi

Menurut Zaini Ujang (2000), alam sekitar ialah gabungan keadaan luaran atau eksternal yang mempengaruhi kehidupan setiap organisma. Keadaan luaran tersebut merangkumi unsur-unsur dan hubungan bukan hidupan atau abiotik. Alam sekitar juga mencakupi keadaan internal atau dalaman khususnya kimia dan biologi yang menjadi teras kepada kehidupan setiap tumbuhan atau haiwan serta manusia.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2003), pencemaran adalah suatu perbuatan yang mencemarkan atau mengotorkan. Pengotoran alam atau perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap.

Pencemaran mengikut definisi bermaksud: " merosakkan atau tidak bersih atau kotor”. Definisi ini juga perlu dirujuk kepada kes-kes yang berlaku. Berlakunya pencemaran apabila sesuatu yang mulia, baik, murni, bersih, dan sistematik dicerobohi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan sistem, moral, tatacara, tabii dan nilai alam. Sikap manusia yang tidak beretika (melanggar prinsip) akhirnya menyebabkan berlakunya perubahan dan kerosakan dalam fenomena alam seperti yang disebutkan dalam Al Quran yang mulia:

"Telah nyatalah berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"

(Surah Al-Rum : 41)

Pencemaran dan kerosakan ke atas sesuatu sistem ini perlu dihentikan segera menurut amaran yang terkandung dalam Al Quran yang mulia :

Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya, dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”

(AI A'raaf: 56)