Thursday, August 26, 2010

PENCEMARAN AIR


Pengenalan

Air merupakan sumber yang penting bagi kehidupan manusia. Air merupakan sumber semulajadi kedua terpenting selepas oksigen. Tanpa air dunia akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. 3/4 bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih 2/3 daripada berat badan manusia adalah air. Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai minuman. Air memang mutlak diperlukan dalam kehidupan manusia dan mahluk hidup lainnya. Tanpa air kehidupan tidak dapat berlangsung. Demikian juga dalam kehidupan kita sehari-hari, air sangat diperlukan untuk berbagai kegiatan di dalam rumah tangga, juga untuk pertanian, pengangkutan serta rekreasi.

Di dalam industri, air digunakan antara lain sebagai bahan pengolah, pendingin dan janakuasa tenaga. Air merupakan pelarut yang baik tetapi selalu dicemar dengan kandungan berbagai zat terlarut mahupun zat tidak terlarut serta mengandungi mikroorganisme. Apabila kandungan berbagai zat mahupun mikroorganisme yang terdapat di dalam air melebihi tahap yang diperbolehkan, maka kualiti air akan terganggu sehingga tidak lagi boleh digunakan untuk kegunaan pelbagai keperluan samada untuk air minum, mandi, mencuci atau keperluan lainya. Air yang terganggu kualiti ini dikatakan sebagai air yang tercemar.

Sebenarnya, warna dan bau air dapat memberitahu kita apa yang sedang berlaku terhadapnya. Misalnya seperti air berwarna hijau mengambarkan terdapatnya tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair yang tumbuh di dalamnya. Manakala air berlumpur menunjukkan terdapat kandungan kelodakan atau mendapan yang tinggi menyebabkan ikan sukar bernafas. Air yang mempunyai lapisan berkilau pula memberi gambaran bahawa berlaku tumpahan minyak di permukaan air tersebut. Selain itu, kita juga dapat melihat kadangkala air itu berbuih dan ini menunjukkan kemungkinan sabun dari rumah atau kilang yang mengalir ke dalamnya. Kita juga sering kali melihat air yang mengalir mempunyai lapisan kuning jingga atau kemerahan dan ini berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan bahan pencemar oleh kilang ke dalam sungai.



Definisi Pencemaran Air

Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik (Jasiman Ahmad 1996). Pencemaran air bukan hannya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang. Menurut Wikipedia Bahasa Melayu pencemaran air adalah seperti kebocoran dan luahan bahan kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi.
Pencemaran air menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 didefinisikan sebagai apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat sifat fizikal, haba, biologi atau radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekeliling yang melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan menyebabkan suatu keadaan merbahaya atau memudaratkan kesihatan, keselamatan dan kebajikan pihak awam atau kehidupan lain seperti burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.
2.2 Punca Pencemaran Air
Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pelbagai faktor atau punca berlakunya pencemaran air. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah,membuang sisa kilang ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran. Selain itu, kekurangan pengetahuan juga menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang telah ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar. Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang paling utama. Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara turut tercemar .

Sisa bahan buangan kilang seperti sisatosid yang dibuang ke dalam sungai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.Kumuhan kilang - kebanyakan kumuhan kilang seperti sisa toksid dibuang ke sungai atau laut. Sesetengah bandar dan kampung mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat dan kadang kala kilang juga membuang bahan beracun ke dalam sungai. Baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani juga akan dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.

Sikap individu itu sendiri menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran air di negara kita. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis sering kali dilakukan oleh sesetengah individu sehingga lupa tanggungjawab dan kepentingan menjaga alam sekitar.

Penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian juga menyebabkan hakisan tanah berlaku dan ini seterusnya akan mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan ini akan mencetekkan sungai dan air sungai menjadi keruh. Penerokaan juga membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana penerokaan yang dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai lalu mendakan berlaku. Mendakan ini bukan sahaja akan mencetekkan lagi paras air sungai tetapi akan mengakibatkan berlakunya banjir. Hakikatnya pelbagai punca berlakunya pencemaran adalah disebabkan oleh faktor masyarakat kita sendiri mahupun dari pihak-pihak tertentu yang tidak peka pada keadaan sekeliling dan hanya mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira sebab dan akibat yang akan berlaku akibat tindakan mereka itu.

Kesan Pencemaran Air


Pencemaran air yang berlaku memberi kesan bukan sahaja akan dialami oleh manusia bahkan turut memberi kesan kepada hidupan yang lain. Kesan kepada manusia adalah terhadap kesihatan mereka sendiri. Dimana antara kesan yang dianggap kronik akaibat pencemaran air yang berlaku adalah anomalia, iaitu pembesaran tubuh dan tingkahlaku yang tidak normal, serta kurang daya ketahanan badan akibat penggunaan sumber air tersebut.

Kesan pencemaran air ini juga memberi kesan yang banyak kepada organisma laut di perairan cetek kesan daripada tumpahan minyak ke laut. Apabila tumpahan minyak berlaku dengan banyak berhampiran persisiran pantai ia akan membentuk lapisan minyak yang boleh mengancam hidupan laut serta burung. Tumpuhan tersebut juga turut menjejaskan tumbesaran dan kesuburan plankton. Hidupan air seperti ikan, siput, udang atau ketam akan mati dengan tumpahan minyak, pembuangan sampah dan sisa toksid yang dicemarkan. Selain dari itu pencemaran toksid yang masuk ke dalam air akan menyebabkan simptom kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan petuturan yang tidak betul. Sesetengahnya berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut.

0 comments:

Post a Comment