Thursday, August 26, 2010

PENGENALAN KEPADA PENCEMARAN AIR, UDARA DAN BUNYI

Pengenalan

Arus pembangunan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju telah mencetuskan pelbagai situasi . Pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial telah memberikan taraf hidup yang selesa kepada rakyat dan menaikkan imej negara di kaca mata dunia. Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat.

Sebagai sebuah Negara membangun, Malaysia sedang mengalami proses pembangunan yang pesat. Pada penghujung abad ke-20 ini, banyak laporan menunjukkan betapa keadaan alam sekitar di seluruh dunia semakin parah tercemar. Pencemaran itu berlaku di segenap pelosok sama ada di Negara membangun apa lagi di Negara maju. Krisis tersebut telah memberi kesan langsung yang negatif terhadap seluruh komponen mikro serta makro alam sekitar. Masalah pencemaran bukanlah suatu perkara yang baru di Malaysia. Berlakunya pencemaran telah menyebabkan pelbagai masalah lain terutamanya masalah kesihatan dan ancaman terhadap manusia dan alam sekitar.

Pada asasnya, kemerosotan kualiti udara, air dan kebisingan adalah berkait rapat dengan pembangunan suatu jenis guna tanah. Contohnya pembangunan industri berat yang berisiko tinggi berkemungkinan menjadi punca kepada pencemaran udara, air dan kebisingan. Berbagai isu dan masalah alam sekitar sering dihadapi oleh penduduk di terutamanya yang berkaitan dengan pencemaran air, udara dan kebisingan. Tanpa melakukan pengawalan dan penyelesaian masalah pencemaran alam sekitar ia boleh mengakibatkan kemudaratan dari segi kesihatan dan menjejaskan kualiti kehidupan kita. Di sini, akan dibincangkan tentang salah satu isu alam sekitar yang berlaku di Negara kita iaitu pencemaran air, bunyi dan udara.

Definisi

Menurut Zaini Ujang (2000), alam sekitar ialah gabungan keadaan luaran atau eksternal yang mempengaruhi kehidupan setiap organisma. Keadaan luaran tersebut merangkumi unsur-unsur dan hubungan bukan hidupan atau abiotik. Alam sekitar juga mencakupi keadaan internal atau dalaman khususnya kimia dan biologi yang menjadi teras kepada kehidupan setiap tumbuhan atau haiwan serta manusia.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2003), pencemaran adalah suatu perbuatan yang mencemarkan atau mengotorkan. Pengotoran alam atau perbuatan mencemarkan kebersihan alam sekeliling dengan sampah sarap.

Pencemaran mengikut definisi bermaksud: " merosakkan atau tidak bersih atau kotor”. Definisi ini juga perlu dirujuk kepada kes-kes yang berlaku. Berlakunya pencemaran apabila sesuatu yang mulia, baik, murni, bersih, dan sistematik dicerobohi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan sistem, moral, tatacara, tabii dan nilai alam. Sikap manusia yang tidak beretika (melanggar prinsip) akhirnya menyebabkan berlakunya perubahan dan kerosakan dalam fenomena alam seperti yang disebutkan dalam Al Quran yang mulia:

"Telah nyatalah berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"

(Surah Al-Rum : 41)

Pencemaran dan kerosakan ke atas sesuatu sistem ini perlu dihentikan segera menurut amaran yang terkandung dalam Al Quran yang mulia :

Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya, dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.”

(AI A'raaf: 56)



1 comments:

CikPykaStories said...

sangat membantu untuk PBS..tq

Post a Comment